para pembaca yang dikasihi,
Setiap bulan dalam kalendar Islam mempunyai keistimewaan tersendiri. Umpamanya bulan Ramadan dengan arahan wajib berpuasa dan dikurniakan satu malam yang dinamakan ‘Lailatul Qadar’. Demikian pula bulan Zulhijjah umat islam diseru menunaikan haji di Mekah. Kemudian terdapat ibadat korban yang besar pahalanya. Rabiul Awal pula mencatat sejarah besar dengan kelahiran junjungan Nabi Muhamad saw.
Bulan Rejab juga sarat dengan peristiwa besar yang menguji keimanan umat Islam. Peristiwa Israk dan Mikraj yang berlaku pada Rasulullah saw sesungguhnya menguji keyakinan umat Islam ketika itu. Peristiwa yang berlaku ke atas Rasulullah saw itu dianggap tidak masuk akal oleh golongan kafir dan munafik pada masa itu. Malah ia turut diragui oleh sebilangan umat Islam yang tipis imannya. Peristiwa Israk dan Mikraj memang menakjubkan, yang berlaku pada malam 27 Rejab, tahun ke-11 daripada kerasulan Nabi Muhammad saw. Peristiwa besar ini amat luar biasa yang dialami oleh Nabi saw dan dianggap sebagai satu anugerah daripada Allah swt. Ini sebagai tanda keagungan dan kebesaranNya. Peristiwa Israk dan Mikraj juga sebagai satu anugerah tertinggi yang hanya dikurniakan kepada junjungan Nabi saw – ianya tidak dikurnaiakan kepada makhluk lain sama ada malaikat, jin atau manusia.
Pada bulan Rejab, selepas 11 tahun baginda saw dilantik sebagai Rasul, disifatkan oleh ahli sejarah sebagai ‘Amulhuzn’ (tahun dukacita) bagi Rasulullah. Ini berikutan baginda saw telah ditimpa dua musibah berturut-turut. Baginda telah kehilangan dua insan tersayang; iaitu kewafatan Siti Khadijah, isteri tercinta. Kemudian Nabi saw menerima musibah dengan kematian bapa saudara baginda, Abu Talib. Kedua-dua insan ini banyak membantu Nabi saw dalam usaha meyebarkan syiar Islam. Sanggup menghadapi ancaman dan cabaran daripada kafir Quraisy. Sanggup bersusah-payah dan menghadapi serba kemungkinan dan fitnah jahat daripada penentang Islam.
Demikianlah Allah swt telah menghiburkan Nabi saw dengan peristiwa Israk dan Mikraj – membasuh kedukaan dan kenestapaan yang bersarang di hati Rasulullah. Israk bererti perjalanan Nabi saw dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa di Baitul Maqdis di Palestin. Peristiwa ini dirakamkan dalam al-Quran, sepertimana firman Allah yang bermaksud:
“Maha suci Allah yang telah menperjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haraam (di Mekah) ke Masjidil Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesunguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Q.S. Al-Israa’:1)
Mikraj pula bermaksud perjalanan baginda saw dari Masjidil Aqsa ke Sidratulmuntaha di langit ketujuh, sebagaimana digambarkan dalam al—Quran yang bermaksud:
“Dan demi sesungguhnya! (Nabi saw) telah melihat (malaikat Jibril dalam bentuk rupanya yang asal) sekali lagi di sisi Sidartulmuntaha; yang di sisinya terletak syurga Jannatul-Makwa. Nabi Muhammad melihat Jibril dalam bentuk rupanya yang asal pada kali ini ialah) semasa Sidratulmuntaha itu diliputi oleh makhluk-makhluk dari alam-alam ghaib, yang tidak terhingga. Penglihatan (Nabi Muhammad) tidak berkisar daripada menyaksikan dengan tepat (akan pemendangan yang indah di situ yang diizinkan melihatnya), dan tidak pula melampaui batas. Demi sesungguhnya ia telah melihat sebahagian dari sebesar-besar tanda-tanda (yang membuktikan luasnya pemerintahan dan kekuasaan) Tuhan-Nya.” (Q.S. An-Najm: 13-18)
Semasa dalam perjalanan israk dan mikraj ini Nabi saw telah diperlihatkan dengan pelbagai peristiwa suka dan duka; menghibur dan menakutkan silih berganti. Nabi saw diiringi oleh Malaikat Jibril sepanjang peristiwa Israk dan Mikraj ini (kecuali ketika Rasullah saw ke SidratulMuntaha bertemu Allah swt)). Nabi saw ditunjukkan pelbagai bentuk penyeksaan ketika meninjau neraka. Misalnya Nabi saw diperlihatkan kepada satu kaum yang memecahkan sendiri kepala mereka dengan batu besar, pecah dan kemudian bertaut kembali seperti sediakala. Ini adalah hukuman bagi mereka yang ingkar mengerjakan solat. Nabi juga melihat seksaan terhadap pemakan riba, penzina, pengumpat, pembuat fitnah dan lain-lain. Ini semua memberi peringatan agar kita menjauhinya semasa di dunia ini.
Nabi juga melihat keseronokan dan kesukaan mereka yang berada di dalam syurga. Nabi tercium bau yang semerbak daripada Mashitah, tukang sisir rambut anak Firaun. Nabi juga melihat sekumpulan orang yang tidak putus-putus menuai hasil (tanaman)- menandakan bahawa balasan bagi mereka yang suka menderma dan bersedekah semasa hayat mereka. Peristiwa besar dalam Israk dan Mikraj ini ialah apabila Rasulullah saw menerima perintah mengerjakan solat. Berbeza dengan ibadat lain seperi puasa, haji, zakat, ibadat solat diterima secara langsung daripada Allah swt.
Sesungguhnya peristiwa yang berlaku ke atas Nabi saw ini mencetuskan kontroversi di kalangan masyarakat Arab pada masa itu. Mereka tidak yakin dengan cerita Rasullah diisrak dan dimikrajkan dalam masa semalaman sahaja. Mereka menganggap itu hanyalah khayalan belaka. Bahkan tidak lebih daripada mainan mimpi. Malah bagi mereka yang sedia memusuhi baginda saw terus melemparkan tohmahan mengatakan: Muhammad sudah gila! Mana mungkin pada akal mereka, perjalanan dari Mekah ke Palestin dengan kenderaan unta mengambil masa selama sebulan, boleh dilakukan oleh Nabi hanya semalaman sahaja. Begitu juga mereka juga menolak dakwaan Nabi saw naik ke langit juga pada malam yang sama. Mereka memperolok-olokkan baginda saw dengan pelbagai ejekan. Mereka menolak mentah-mentah apa yang Nabi ceritakan.
Bagi orang-orang Arab yang memang menentang Nabi saw, mereka menjaja ke merata tempat peristiwa yang dianggap ganjil ini. Bagi mereka yang mula menunjukkan minat agama yang dibawa Muhammad saw, mula menjauhkan diri. Mereka yang lemah iman pula terus tertewas dan kembali kepada agama asal .Namun bagi mereka yang kuat iman, tetap tidak berganjak dan tetap mengakui kebenaran Muhammad saw. Saidina Abu Bakar sendiri tanpa ragu-ragu mengiakan apa yang Nabi saw alami. Justeru beliau digelar asSidiq (benar).
Sesungguhnya dengan kuasa Allah dan kehendakNya apa sahaja boleh berlaku. Nabi saw menggunakan kenderaan Buraq (sepantas kilat) dalam peristiwa Israk dan Mikraj ini. Sekiranya ia berlaku pada zaman ini, mungkin tidak siapa yang menganggap ia suatu yang mustahil. Dengan menggunakan kenderaan moden serta canggih seperti yang terdapat masa kini, beritahu sahaja ke mana sahaja ceruk rantau kita jelajahi tetap dipercayai, sekiranya kita berkemampuan. Dengan kemahuan dan keupayaan kita boleh sampai ke bulan atau lain-lain planet, juga menjejak kaki ke mana-mana sahaja yang kita hajati.
No comments:
Post a Comment